Media di Malaysia memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan bangsa kerana masyarakat akan mengetahui informasi daripada saluran tersebut. Tanpa adanya media, kita tidak akan mendapat sebarang pengetahuan terutama tentang kehidupan seharian dan isu-isu global. Media berpengaruh dalam pembangunan demokrasi sesebuah negara dan merupakan unsur yang penting dalam penyelesaian konflik dan pembangunan antarabangsa. Umum mengetahui bahawa media berperanan besar dalam proses pembentukan, pembangunan serta kestabilan sesebuah negara termasuklah dalam aspek sosial, ekonomi dan politik. Masyarakat seluruh dunia bergantung sepenuhnya kepada media untuk mendapatkan maklumat dan informasi. Media bukan saja berperanan menyampaikan maklumat dalam ruang lingkup semasa malah juga memainkan peranan penting dalam memberitahu, mendidik dan memotivasikan masyarakat terhadap pembangunan yang direncanakan oleh kerajaan. Justeru dari perspektif budaya, kandungan media tidaklah hanya berita, iklan atau hiburan semata-mata. Sebaliknya media menjadi pengikat yang dapat menghubungkan pelbagai lapisan masyarakat. Dengan itu media mempengaruhi bagaimana kita berkomunikasi dengan masyarakat yang lain. Walaubagaimanapun, media juga perlu diberi kawalan yang sewajarnya oleh pihak kerajaan supaya tidak memberi laporan-laporan yang menjejaskan imej kerajaan dan keharmonian penduduk di Malaysia. Setiap maklumat yang disampaikan dan disebarkan melalui media boleh mempengaruhi masyarakat dan memberi impak yang cukup besar dengan pelbagai cara digunakan terutamanya menerusi media elektronik.
Kawalan terhadap media itu sendiri perlu diberikan penekanan yang serius bagi memastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan berkesan. Media menjadi pengikat yang dapat menghubungkan pelbagai lapisan dalam masyarakat. Dengan itu media mempengaruhi bagaimana kita berkomunikasi dengan masyarakat yang lain sekaligus memberi impak kemasyarakatan yang besar. Media bukanlah semata-mata menyalurkan maklumat tetapi sebenarnya membentuk masyarakat yang menerima maklumat tersebut. Kerjasama daripada semua pihak amatlah penting bagi memastikan ketelusan media melaporkan sesuatu isu agar masyarakat lebih yakin dan percaya terhadap kredibiliti media serta bersikap terbuka dalam menerima laporan atau kritikan media tentang kekurangan yang ada pada mereka. Media perlu bertindak bijak dan bebas tanpa terpengaruh dan terikat dengan mana-mana pihak. Ketelusan media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat adalah penting kerana ia mencerminkan dasar keterbukaan dan ketelusan terhadap sesebuah negara.


