Memiliki sebuah kediaman yang indah dan cukup mempesonakan adalah impian bagi setiap individu untuk melengkapkan kehidupan mereka. Oleh itu, rumah yang dihias adalah bergantung kepada citarasa yang tersendiri kerana ia mengikut pelbagai tema dan konsep yang diingini. Tetapi harus diingat untuk menjadikan kediaman lebih menarik kita perlulah seseorang yang pakar dalam bidang tersebut. Kerjaya sebagai pereka hiasan dalaman adalah sangat diperlukan untuk memberi idea kreatif dalam dekorasi yang menarik dan sesuai untuk kediaman.
Pereka hiasan dalaman merupakan satu kerjaya yang lebih cenderung ke arah bermain dengan ruang. Ianya lebih kepada menyediakan sebuah ruang yang selesa demi kepentingan penghuni sama ada secara langsung atau tidak langsung. Sebagai pereka hiasan dalaman, panduan-panduan yang cukup kreatif dengan dekorasi yang bersederhana pasti membuatkan ramai yang teringin melihat sendiri bagaimana bentuk hiasan dalaman rumah.
Seperti yang kita ketahui, pereka hiasan dalaman yang cukup terkenal di negara ini ialah Eric Leong atau lebih dikenali sebagai Raja Hias yang menggunakan prinsip mudah, ringkas dan praktikal adalah satu pendekatan yang diaplikasikan oleh beliau dalam melakukan dekorasi dan pengubahsuaian sesebuah kediaman. Menurut Eric pemilik kediaman perlu mengikut lapan langkah mudah yang sesuai untuk diguna pakai dalam menghasilkan idea kreatif menghias rumah. Antara langkah-langkahnya ialah termasuk menentukan gaya hiasan, skema warna, feature wall, pilih perabot yang sesuai, pencahayaan, kemasan, aksesori dekor dan sentuhan akhir iaitu menggunakan bunga-bungaan segar dan lilin.
Sehubungan dengan itu, ramai pemilik kediaman hanya menitikberatkan susunan perabot dan kain langsir saja. Namun kunci utama dalam melakukan kerja pengubahsuaian sebenarnya melibatkan pemilihan warna cat dan jenis lampu bagi menyerlah lagi ruangan dalaman. Pemilihan warna yang bersesuaian dengan ruang rumah anda perlulah diutamakan terlebih dahulu. Warna bukan saja menyerlahkan ruang dalaman malah dapat menghasilkan mood persekitaran yang ceria, kreatif ataupun penuh ketenangan. Warna yang dipilih bukan saja menggambarkan personaliti pemilik malah mampu menambahkan nilai sesebuah kediaman. Penggunaan warna terang memberikan impak besar dengan menampakkan ruang dalam rumah anda lebih luas. Hindari penggunaan warna gelap seperti hitam, kelabu dan merah hati kerana ia menjadikan sesuatu ruang kelihatan lebih kecil.
Susun atur dalam sesebuah kediaman adalah mengikut citarasa pemilik tersebut tetapi perkara asas yang harus ditekankan oleh setiap pemilik rumah adalah menentukan gaya hiasan dengan mengambil kira corak kehidupan anda seisi keluarga. Pada masa sekarang, terdapat pelbagai pilihan trend menghiasi rumah bermula dari klasik moden, padan dan suai, gaya asas, Inggeris dan funky. Segalanya terpulang kepada citarasa anda dalam mewujudkan suasana selesa di kediaman masing-masing. Bagi pemilik kediaman yang gemarkan konsep klasik moden, pemilihan cat lebih bertumpu kepada warna ungu dan oren di samping penggunaan lampu kristal berupaya menampakkan lagi ciri-ciri kemewahan. Dalam pada itu, pilihan pencahayaan yang tepat membantu menghidupkan gaya minimalis. Justeru, lampu dipasang bergantung kepada ruang seperti tempat yang memerlukan lebih pencahayaan seperti ruang makan, elok diterangi lampu bercahaya putih, manakala ruang tamu, sudut santai dan bilik tidur sesuai dengan lampu malap yang dilihat mesra dan romantik.
Pereka hiasan dalaman juga perlu mengubah sesuatu yang cukup indah dan kreatif kerana mereka diberi kepercayaan untuk menata rias kediaman tersebut. Di samping itu juga, mereka perlulah mengkaji terlebih dahulu apa yang bersesuaian dari semua aspek. Pemilik kediaman seharusnya meminta pandangan atau mendapat nasihat terlebih dahulu daripada pereka hiasan dalaman kerana ramai tuan rumah selalu membeli set kelengkapan rumah mengikut kemahuan sendiri. Pantang nampak cantik dan ada jualan murah, mereka beli tanpa mengambil kira aspek kesesuaian. Untuk mengelakkan pembaziran, kita perlu membeli mengikut gaya yang dikehendaki dan sesuai sahaja.


No comments:
Post a Comment