Kebutuhan dalam penggunaan informasi secara meluas dalam dunia siber adalah lumrah dalam kehidupan masyarakat hari ini. Namun, pelbagai isu yang timbul berhubung dengan penyalahgunaan di internet khususnya di dalam blog, rencana dan sebagainya. Masyarakat tanpa segan silu memberikan komen yang tidak berasas dan menggunakan bahasa kasar bagi melepaskan geram atau amarah terhadap sesuatu pihak.
Keadaan ini dapat dilihat apabila sesuatu isu itu hangat diperkatakan, masyarakat lebih gemar untuk turut terbabit secara langsung mahupun tidak langsung dalam menyuarakan pendapat mereka terhadap sesuatu isu yang timbul. Ia seolah-olah menunjukkan bahawa mereka lantang bersuara dan lebih memahami tentang isu tersebut. Malahan, jika ia bersentuhan dengan sensitiviti kaum, mereka berlagak bagaikan hero yang menegakkan keadilan supaya bangsa terbela dan hak mereka dipertahankan sewajarnya. Pelbagai kata-kata kesat yang dilemparkan bagi menjatuhkan maruah kaum lain dan jika dibiarkan berpanjangan mungkin membawa pertelingkahan antara kaum yang berpanjangan.
Setelah diteliti dan dikaji semula tentang dunia siber ini, sememangnya ia memberi kesan yang sangat buruk kepada masyarakat jika kebiadaban menjadi bahan utama dalam membangkitkan sesuatu isu. Menurut Pensyarah Kewartawanan UiTM Shah Alam, Dr. Rahmat Ghazali, terdapat pelbagai bentuk cacian dan maki hamun yang dilemparkan individu dari pelbagai kaum yang tidak pernah berpuas hati dan tidak mempunyai etika sebagai seorang insan yang bertamadun. Kadang-kala ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa seseorang individu itu tidak berfikir secara rasional sebelum menyatakan pendapatnya dan mereka ini lebih senang menggunakan perkataan biadap yang akhirnya memakan diri sendiri.
Kita sendiri tahu setiap apa yang ditulis adalah atas dasar untuk memberitahu dan menghebahkan tentang apa yang bermain di fikiran namun persoalannya kini perkataan yang digunakan itu langsung tidak beralas. Keberanian yang ditunjukkan dapat diibaratkan baling batu sembunyi tangan. Walaupun lantang bersuara tetapi mereka tidak mahu bertanggung jawab terhadap apa yang diperkatakannya. Jikalau pun ada yang mahu menunjukkan rasa kesal dengan apa yang telah dilontarnya, adakah cukup hanya sekadar mengucapkan kata-kata maaf? Oleh itu, perlulah ada batasannya jika ingin memberi pandangan kerana apa yang diuar-uarkan boleh memberi impak yang cukup besar pada hari muka. Hak kebebasan bersuara yang telah diberikan haruslah digunakan sebaik-baiknya demi kepentingan bersama.
Konklusinya, masyarakat harus memahami bahawa kebebasan dalam bersuara memberi sedikit ruang untuk individu menyatakan pandangan mereka secara telus dan jelas. Oleh kerana sesiapa sahaja boleh memberi pandangan dan menyiarkan untuk tatapan umum pandangan peribadi mereka maka wujudlah salah tafsir mengenai suatu yang dikelaskan sebagai fitnah, ugutan dan sebagainya. Pihak kerajaan memainkan peranan yang amat penting dalam memantau keadaan alam siber ini bagi memastikan keadaan terkawal dan tidak menimbulkan perkara yang berbangkit. Ternyata, keadaan ini bagaimanapun dapat dikawal jika setiap pendapat yang diberikan bergerak seiring dengan etika dan segala tindak-tanduk adalah berlandaskan pada rasionaliti yang seterusnya dapat memperjelaskan isu tersebut tanpa ada sebarang makna tersirat disebaliknya.
No comments:
Post a Comment